HIDUP SEPERTI POHON YANG RIMBUN TETAPI TIDAK BERBUAH (TAK MENDATANGKAN HASIL) ADALAH MERUGIKAN DAN IBARAT HIASAN SEMATA

Sunday, July 31, 2011

ADAB BERPUASA

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang akan menyempurnakan ibadah tersebut. Di antara peraturan yang terpenting ialah:

* Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya.

* Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syarak dan perkara yang sia-sia.

* Mengawal perutnya daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau mengandungi unsur syubhat, terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya upaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.



* Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna.

Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak dan binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Nabi s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga! (riwayat An-Nasai)



Sabda Rasulullah s.a.w.: “Puasa itu adalah ‘perisai’, Sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya, maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: ‘Saya sedang berpuasa.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

* Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami keperitan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya akan terkawal, keinginan nafsunya akan berkurangan, hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

* Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makan adalah sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain.



Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu pada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.


Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang, anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu), tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”


* Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.

Sabdanya: “Umatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur.” (riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim).




No comments:

Post a Comment